Taman Tema Air Gua Musang
Taman Mini Air ini dibawah seliaan KESEDAR Inn. Sdn. Bhd. Dirasmikan pada 8 Januari 2017. Terletak di dalam Taman Etnobotani
Sumber : www.kesedar.gov.my
KOLAM AIR PANAS

Pada masa kini, terdapat dua rangkaian kolam air panas, iaitu kolam air panas Sungai Ber dan Sungai Mering. Kedua-dua kolam air panas tersebut terletak di kawasan pedalaman iaitu dalam kawasan Hutan Simpan Sungai Berok.
Kedua-dua kolam air panas tersebut berpotensi sebagai kawasan tarikan geo- pelancongan. Kolam air panas Sungai Ber merupakan kolam air yang terpanas di Kelantan (72 0C). Manakala kolam air panas Sungai Mering merupakan aliran air panas berbentuk air terjun bertingkat yang amat cantik bentuknya.
TAMAN ETNOBOTANI



Taman Etnobotani, Gua Musang dibangunkan sebagai pusat penyelidikan hutan dan rekreasi bertujuan bagi memelihara kepentingan hasil hutan dan produk yang berkaitan dengannya khususnya produk herba. Ia terletak berhampiran bandar Gua Musang iaitu di Jalan Gua Musang-K. Lipis dengan kawasan seluas 35 hektar.
Komponen utama Taman Etnobotani ialah taman herba, galleri herba, pusat inkubator (8 unit) untuk pengusaha IKS berasaskan herba,kemudahan aktiviti riadah, chalet, taman mini haiwan dan pelbagai kemudahan sokongan. Antara aktiviti yang disediakan untuk pengunjung ialah lawatan ke kawasan tanaman pelbagai jenis herba, mendaki bukit, perkhemahan, titian kanopi dan menikmati keindahan gua.
Pada masa kini sebahagian daripada kawasan Taman Etnobotani sedang digunakan untuk pusat latihan belia dibawah program Pusat Latihan Khidmat Negara. Isu utama yang dikenalpasti ialah taman ini kurang mendapat sambutan daripada penduduk tempatan, pengunjung dan pelancong.
TAMAN NEGARA KUALA KOH



Taman Negara terletak di tiga buah sempadan yang melibatkan negeri Kelantan, Pahang dan Terengganu. Taman Negara Kuala Koh terletak di sempadan negeri Kelantan dan berada dalam Jajahan Gua Musang. Ia terletak dalam kawasan Hutan Simpan Bukit Hantu dan Hutan Simpan Lebir.
Dari aspek perhubungan, Taman Negara Kuala Koh terletak 96 kilometer dari bandar Gua Musang dan ia mudah dihubungi oleh pengunjung dan pelancong melalui jalan raya khususnya Jalan Gua Musang-Kuala Krai. Aset semulajadi yang dimiliki oleh Taman Negara Kuala Koh khususnya kepelbagaian kehidupan flora dan fauna serta ekosistem hutan hujan tropika amat sesuai bagi aktiviti ekopelancongan selain bagi tujuan penyelidekan dan pembangunan (R & D).
Antara aktiviti yang dianjurkan oleh pihak Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara ialah pemerhatian burung (melebihi 300 spesies),memancing di rangkaian sungai, sesi fotografi, meredah hutan melalui rentis interpretif, berkayak/berakit, menaiki titian kanopi dan perkhemahan.
Bagi keselesaan pengunjung dan pelancong, antara kemudahan yang disediakan di Taman Negara Kuala Koh termasuklah chalet dan asrama, restoran,bilik mesyuarat, bilik interpretif, tapak perkhemahan, perkhidmatan bot, wakaf/pondok untuk istirehat, surau dan tempat letak kenderaan.
Bagi tempoh 2000-2006, sejumlah 25,477 pengunjung dan pelancong telah mengunjungi Taman Negara Kuala Koh dimana sebahagian besar adalah pengunjung tempatan (97.8%) berbanding pelancong asing (2.2%). Isu utama bagi Taman Negara Kuala Koh ialah tiada perkhidmatan pengangkutan awam disediakan bagi pengunjung/pelancong dan kekurangan promosi bagi menarik pelancong khususnya pelancong asing.
SUNGAI NENGGIRI DAN RANGKAIAN JERAM


Sungai Nenggiri merupakan rangkaian utama sistem saliran sungai di Jajahan Gua Musang yang menawarkan aktiviti lipur diri kepada pengunjung khususnya bagi aktiviti berkayak dan berakit selain aktiviti memancing. Ia mempunyai lebih daripada 40 buah jeram (rapid) dan amat sesuai untuk aktiviti berakit dan berkayak berteraskan eko-pelancongan.
Sungai Nenggiri dan anak sungainya menjadi sistem perhubungan utama bagi petempatan di kawasan pedalaman saperti perkampungan orang asli Pos Brooke, Pos Mering dan Pos Pulat, Kg. Kuala Jenera, Kg. Kuala Penep dan sebagainya. Antara aktiviti yang dijalankan bagi menarik pelancong ialah `Nenggiri River Cruise’ iaitu perjalanan sejauh 50 kilometer dengan menaiki bot / rakit yang bermula di pengkalan jeti Kuala Betis hingga Kg. Setar.
Ia merupakan pakej lawatan 3 hari 2 malam dan 2 hari satu malam yang dianjurkan oleh agensi pelancongan untuk pelancong berkumpulan. Antara tempat yang dilawati disepanjang perjalanan termasuklah Gua Cha (tapak bersejarah zaman purba) dan perkampungan orang asli Kuala Jenera dan Pos Pulat (menghayati budaya dan gaya hidup).
Selain daripada itu, pihak KESEDAR dengan kerjasama Majlis Tindakan Pelancongan Negeri Kelantan dan Majlis Belia turut menganjurkan acara tahunan `Nenggiri Challenge’ iaitu acara berkayak yang melibatkan bukan sahaja peserta tempatan tetapi peserta luar negara saperti Switzerland, Thailand, Singapura dan Indonesia. Ia bermula di pengkalan jeti Gua Cha dan berakhir di Kg. Setar termasuk bermalam di Pos Pulat.
PADANG GOLF & SUKAN BERKUDA

Bagi tujuan riadah , Jajahan Gua Musang mempunyai sebuah padang golf bagi pengunjung atau pelancong yang mengemari permainan golf. Padang golf tersebut ialah Kelab Rekreasi Perdana yang terletak berhampiran Taman Etnobotani.
Ia merupakan padang golf 9 lubang yang dilengkapi dengan rumah kelab dan restoran serta terbuka kepada orang ramai dengan kadar bayaran yang berpatutan. Pada masa kini padang golf tersebut menjadi tarikan kepada pengunjung tempatan terutama bagi penduduk di Gua Musang.
GUA MADU

Lokasi
Gua Madu terletak di Kampung Batu Papan kira-kira 4 km dari bandar Gua Musang. Dari simpang tiga berdekatan Balai Polis Gua Musang, ke kiri kira-kira 2 km dan ke simpang masuk utama ke Gua Madu. Dari simpang tersebut, perlu melalui kawasan perkampungan sejauh kira-kira 1 km untuk sampai ke tempat tersebut.

TASIK KETITIR

Tasik Ketitir merupakan sebuah tasik bekas tapak aktiviti perlombongan suatu ketika dahulu. Kini ia telah dijadikan satu kawasan rekreasi dalam bandar di Gua Musang. Namanya adalah daripada spesis burung yang banyak bersarang di pokok-pokok sekitar taman tasik yang masih boleh dilihat pada hari ini. Menjadi tumpuan kepada masyarakat tempatan untuk bersiar-siar, berehat dan berekreasi di samping menikmati persekitaran segar dan nyaman.
Tasik Ketitir terletak di dalam Bandar Baru Gua Musang bersebelahan dengan Ibu Pejabat Polis Daerah Gua Musang.
Kemudahan asas di Tasik Ketitir

Kedai Makan

Chalet

Kawasan Letak Kereta Yang Luas
